[UPDATED] Kembara Mengenal Mendaki (KMM)


Ada orang suka mengayuh laluan mendatar kerana tak perlu penat-penat mendaki tetapi dia perlu sentiasa mengayuh dan makin lama mengayuh makin terasa bosan. Ada juga mereka yang suka mengayuh laluan berbukit kerana tak membosankan (tak sempat nak rasa bosan kerana tenaga dikerah sepenuhnya) dan apabila mendaki pasti ada menurun, dan dapat merasa deruan angin menempel pada muka. Ada yang mahu jadi raja pecut, ada yang mahu jadi raja bukit, ada yang mahu santai 'Mak Jemah'. Apapun laluan yang dilalui ketika ber'touring', ia pasti akan meninggalkan seribu satu kenangan yang berharga untuk dikongsi serta dikenang.


Awal Disember yang lalu, tak sampai dua minggu selepas mengayuh ke Hatyai dan Songkhla, aku dan Joe sekali lagi  keluar ber'touring' dan kali ini kami ke Cameron Highlands, start dari Simpang Pulai dan turun ikut jalan Cameron-Tapah dan kemudian kayuh dari Tapah kembali semula ke Simpang Pulai. Fokus kali ini adalah pada pendakian dan menuruni bukit. Ini merupakan pengalaman pertama aku ber'touring' di kawasan tanah tinggi. Baru aku tahu azab mengayuh mendaki bukit. Aku menaiki bas dari JB menuju ke Ipoh pada jam 10 malam dan bas berhentikan aku di tepi jalan di Simpang Pulai pada pukul 5.15 pagi. Aku tunggu Joe di pondok bas bersama seorang wanita,  yang juga merupakan penumpang bas yang sama. Joe tiba tepat masuk waktu subuh dan setelah bersolat di surau Tol Simpang Pulai, kami singgah di kedai mamak berhampiran. Di sinilah kami menyiapkan diri, basikal serta menjadi starting point kami. Kami diberitahu sudah 2 minggu Cameron Highlands dan kawasan sekitar akan hujan pada sebelah petang.

Telek ape tue Joe

Yup... We are going to Cameron Highlands

Permulaan azab mendaki

Dengan sinar matahari yang sedikit sahaja hangatkan pagi, kami memulakan kayuhan kira-kira jam 8 pagi, berdoa agar segalanya berjalan lancar. Di persimpangan jalan menuju ke Cameron Highland, terlihat banyak kenderaan yang melintasi kami. Rakyat Malaysia sedang berduyun-duyun mahu ke Cameron bagi menghabiskan cuti hujung minggu bersama rakan-rakan dan keluarga. Apa-apa pun, kami 'BON VOYAGE' dahulu. Untuk 8km yang pertama, laluannya mendatar sahaja tetapi untuk kilometer yang seterusnya, tiada istilah 'mendatar' lagi, semuanya 'menaik' dan terus naik. Untuk trip kali ini, aku dan Joe telah berkenalan dengan geng touring basikal folding Kuala Selangor yang juga mahu ke Cameron Highland. Jadi, kami berlima memulakan kayuhan bersama-sama, melayan karaneh dan drama masing-masing.

Introducing our new friend, From left: JOE, ABANG MANCAH, ADEK, CIKGU AN & AKU

Disebabkan jalan yang berbukit, kami dahulukan mereka yang bertenaga 'jantan' untuk mara ke hadapan dan berhenti untuk setiap 10km bagi melakukan 'headcount' takut-takut ada yang tercicir. Laluan ini memang menguji stamina dan kesabaran. Pada sebelah pagi, cuaca menuju ke Cameron memang terbaik dengan matahari berselindung di sebalik awan. Banyak pemandu kenderaan yang menyapa kami di sepanjang laluan. Tetapi tiba sahaja waktu tengah hari, hujan pun turun dengan lebatnya. Oleh kerana tiada tempat berlindung langsung di sepanjang jalan, kami hanya berlindung di tepi jalan di bawah pokok.


Keep nature clean by cycling

No matter where we go NATURE will help us

Sesi berkenalan dengan Geng Folding Kuala Selangor

Bawah pokok pun boleh landing sementara

Oleh kerana hujan terus turun tanpa ada petanda untuk berhenti, kami terpaksa mengubah plan A (bermalam di kampung Raja) dan execute plan B iaitu berhenti bermalam di sebuah warung makan di KM18 sebelum Kampung Raja. Kami sampai di warung tersebut pada jam 4.30 petang dan hujan terus turun hingga lewat senja. Tuan warung  membenarkan kami menggunakan satu bilik kosong  untuk bermalam. Bilik yang memuatkan kami berlima. Elok juga berhenti di sini kerana kami dapat berehat, yang sememang-memangnya cukup untuk kami shot ke Tanah Rata pada hari esok. Pada sebelah malamnya pula aku dan Joe dapat bersesi ice breaking dan bergelak ketawa dengan kawan-kawan touring baru, Abang Mancah, Cikgu An dan Adek. Pelbagai drama dan cerita belakang tabir yang terjadi ketika kami menginap di sini. Satu kenangan yang takkan dilupakan. Warung ini tutup pada jam 10 malam, tapi masih ada orang singgah untuk ke tandas yang terletak di luar. Warung ini ibarat R n R sebelum sampai ke Cameron.

Warung tempat bermalam kami
Sepetang mengeteh di warung
Bilik tempat tidur kami, simple dan tak perlu buka khemah
Setelah fajar menyinsing, aku kuatkan semangat untuk bangun. Aku menyambar tuala dan terus ke bilik air. Tiupan angin yang kuat tak mematahkan semangat aku untuk mandi pagi itu. Selesai mandi dan bersolat, aku dan Joe mula menyiapkan sarapan kami iaitu milo, tea-o dan maggi asam laksa. Kami terpaksa menyiapkan sendiri sarapan kerana warung ini hanya akan dibuka pada pukul 9 pagi. Selesai berkemas dan mengejutkan owner warung bangun pagi (maafkan kami 🙇 🙇 🙇) untuk ucap selamat jalan serta terima kasih, kami memulakan kayuhan pada jam 9 pagi. Destinasi hari ini adalah Tanah Rata, Cameron Highlands. Setelah dapat membaca cuaca Cameron berdasarkan hari semalam, kami juga menjangkakan hal yang sama akan berlaku pada hari ini iaitu hujan akan turun selepas tengah hari. Jadi kami perlu kayuh secepat dan sejauh mungkin.

Ceria di hari Kedua
Scary Tunnel

Tanah runtuh yang ada di mana-mana

Moh kite ke Cameron

Cameron Highland popular di kalangan rakyat Malaysia sebagai destinasi percutian tanah tinggi. Tapi sejak kebelakangan ini, tanah-tanah di Cameron Highland dengan rakus telah diterokai tanpa kawalan menyebabkan banyak kawasan tanah runtuh dapat dilihat di sepanjang jalan. Bagi mereka hanya duit yang mereka dambakan tanpa memikirkan kesan ekosistem sekeliling. Bila terjadi tanah runtuh yang DASYAT barulah menyalahkan sana sini.

Naik Cameron guna folding bike... Memang power
 
Welcome to Cameron Higlands

Selpie muka sahaja katenye


Selepas mengayuh beberapa kilometer daripada warung, kami melalui satu terowong yang dibina untuk elak runtahan tanah menghempap jalan dan selepas itu kami melalui signature utama di sini iaitu 'Selamat Datang ke Cameron Highlands, Pahang Darul Makmur'. Kami berhenti untuk bergambar sepuas-puasnya. Sejurus sahaja mula mengayuh, hujan renyai mula turun membasahi kami. Belum sempat tengah hari lagi hujan sudah mula turun. Hujan renyai-renyai betukar separa lebat. Kami berhenti sebentar di tepi jalan bagi memberi laluan untuk hujan reda sedikit. Ketika berhenti, kami perhatikan 3 orang mat saleh dengan laju meluncur menuruni bukit meninggalkan bumi Cameron dengan berbasikal sambil mengharungi hujan. Kami hanya sempat menyahut panggilan mereka sahaja. Kami menyambung kayuhan dan Alhamdulillah kami sampai di perkampungan pertama Cameron Highland, Kampung Raja sekitar jam 11.30 pagi. Pada ketika ini hujan berhenti tetapi turun semula tak lama selepas itu. Cuaca di sini memang tak menentu.

Hujan oiiii


Kami meneruskan kayuhan melalui jalan-jalan yang dipenuhi kereta yang menuju ke Brinchang dan Tanah Rata. Banyak kenderaan yang tersangkut kerana lambakan kenderaan yang mahu ke Cameron. Jadi, kami melintasi mereka dengan penuh bergaya. Ada yang buat muka kagum melihat kami mengayuh basikal dan ada juga yang menegur kami. Walaupun sudah sampai di Daerah Cameron, tapi kami masih perlu mengayuh kerana jarak dari Kampung Raja ke Tanah Rata masih berbaki 37km dan jalannya pula turun naik, no discount. Kami berhenti makan tengah hari di sebuah restoran tepi jalan yang menghidangkan pelbagai jenis makanan. Dek kerana termakan racun akak kedai yang mengatakan nasi ayam di sini sedap, kami berempat, kecuali Abang Mancah memilih nasi ayam. Sedap jugaklah sebab nak sedapkan hati.


Mengenang nasib perut yang berkeroncong


Perut sudah diisi, tenaga sudah kembali tapi hujan renyai masih belum berhenti. Kami meneruskan juga kayuhan, sekejap mendaki sekejap turun untuk sampai ke tanah rata. Kami berhenti seketika di Brinchang untuk bergambar sahaja pada asalnya tapi memandang jarak ke tanah rata hanya tinggal beberapa kilometer sahaja, kami berhenti berehat sebentar di pondok bas berhadapan balai bomba Cameron Highlands. Kami disapa seorang pemuda yang bertanya dari mana dan hendak ke mana. Rupa-rupanya dia juga seorang pentouring cuma kali ini dia ke Cameron bersama-sama keluarga bercuti. Selesai berbual, kami meneruskan kayuhan penamat menuju destinasi hari ini iaitu Tanah Rata. Alhamdulillah kami selamat sampai ke Tanah Rata pada jam 3:30 petang. Selepas bergambar di papan tanda Tanah Rata, kami terus ke Guest House milik rakan Joe. Guest house ini masih belum di buka sebenarnya. Tapi pemiliknya berbesar hati untuk memberi kami tidur di sini sebagai tetamu pertama mereka.

Kereta berduyun-duyun nak ke manalah agaknye

Welcome to Brinchang

No matter where we go always met pentouring

Finally... Tanah Rata, Cameron Highlands

Meh aku review skit pasal guest house nie. Namanya Hikers Sleep Port dan yang menariknya pasal tempat ini adalah pertama, pintu masuknya ada di belakang. Ini kerana ianya terletak di bangunan zaman British yang mana pintu bagi kedai di tingkat atas berada di belakang bangunan. selain itu seni bina dalaman masih kekal menggunakan kayu dan hampir keseluruhan structure adalah kayu. Di sini terdapat bilik untuk family, bilik ala dorm dan bilik cubical. Untuk maklumat lanjut boleh ke FB mereka di link di atas. Ketika kami berada di sini, tempat ini masih dalam proses ubah suai, belum di buka secara rasmi. Sepanjang berada di sini kami sempat berkenalan dengan Am. Dia diupah oleh owner yang juga merupakan sahabat mereka, untuk melukis mural pada dinding guest house ini. Kami cukup berbangga kerana selang beberapa hari, Am menghantar gambar lukisan muralnya yang terdapat lukisan lima orang berbasikal iaitu gambar kami. We are so honoured to be part of the mural painting. Am seorang yang memang aku respeks. Banyak perkara yang dia telah cuba. Menjadi cikgu english, cikgu seni, membuat seni tukang kayu, melukis dan juga seorang surfer yang berpangkalan di Bali beb. Hebat memang hebat. Kami tidak dapat berjalan-jalan di Tanah Rata pada sebelah malam kerana hujan lebat. Jadi kami hanya duduk di restoran dan berborak-borak sehingga lewat malam.

Bersama-sama dengan Owner Hikers Sleep Port

Bilik kitaorang... Takyah khemah2 katil terus

Lukisan lima budak itam berbasikal.. Thanks Hikers Sleep Port

Pukul 6:30 pagi aku bangun. Selesai mandi dan bersolat aku terus berkemas-kemas beg sambil menunggu orang lain selesai mandi. Selesai mengemas kami turun dan mempersiapkan basikal kami pula untuk hari ini. Brek di check, ikatan barang diketatkan kerana hari ini kami akan menuruni Cameron Highlands menuju Tapah dan seterusnya kembali ke Simpang Pulai. Sebelum memulakan kayuhan kami bersarapan dahulu bersama-sama dengan geng Hikers Sleep Port. Menu aku adalah nasi lemak, masa untuk carbo loading katenyer tapi terpaksa menanggung after effect iaitu Toilet Time. Selesai sarapan dan ucap terima kasih kepada geng Hikers Sleep Port, kami memulakan kayuhan hari terakhir. Kami akan melalui pekan terakhir di Cameron Highlands iaitu Ringlet sebelum turun ke Tapah. Selamat tinggal Cameron Highlands.



Oh Raub... Aku rindu nak balik kampung

Last Cameron Town, Ringlet


Sebelum turun, aku yang masih lagi junior dalam bidang touring ini selalu diperingatkan agar berhati-hati ketika turun melalui jalan Tapah-Cameron. Ini kerana jalannya yang sempit, berlopak, lori-lori sayur yang pandu macam tak ingat dunia, serta bas dan lori panjang yang sukar dijangka kehadirannya ketika di selekoh antara bahaya yang menanti. Walaupun seronok apabila menuruni bukit, keselamatan harus diutamakan. Sebaik sahaja melalui jalan ini kesemua bahaya yang disebutkan tadi memang terjadi dan langkah berhati-hati harus diambil. Selepas menikmati angin menuruni Cameron dinikmati, kami berhenti seketika di Lata Iskandar, kawasan air terjun yang terletak bersebelahan jalan. Orang memang ramai, al-maklumlah hari Ahad. Family time. Kami sempat berborak dengan seorang uncle yang menegur kami. Biasalah budak bawa basikal turun Cameron, memang famous-lah. Uncle menceritakan perihal dia dan anaknya yang juga suka mengayuh basikal. Kami meneruskan kayuhan menuju Tapah.

Masa untuk turun dan enjoy the wind






Alhamdulillah, kami sampai di Tapah pada jam 1 petang dan berhenti makan tengah hari di warung berdekatan. Selesai lunch, hujan renyai mula turun. Yup. Cuaca yang sudah boleh diramal. Selepas tengah hari hujan akan turun. Aku dan Joe bercadang untuk pecut sahaja ke Simpang Pulai. Kononnya la kann. Ini kerana jarak Tapah ke Simpang Pulai lebih kurang 44km. Sepanjang perjalanan kami melalui beberapa pekan seperti Temoh, Kampar, Jeram dan Gopeng. Ketika mengayuh, sekali lagi kami diuji dengan hujan yang amat lebat sehingga aku tak dapat melihat apa yang ada di hadapan. Aku dan Joe memutuskan untuk berhenti seketika di bawah pokok bagi menunggu hujan reda sedikit. Alhamdulillah, selang beberapa minit hujan kembali reda dan kami memeruskan kayuhan. Kali ini aku dan Joe memperlahankan kayuhan dan lebih banyak bergambar di sepanjang laluan ini. Enjoy the ride.

Nak bagi tau... depan tue hujan lebat bang



Kito kelik Kota Bharu le dulu


Alhamdulillah, aku dan Joe selamat tiba di restoren mamak di Simpang Pulai ini, starting point kami pada jam 5:30 petang manakala Abang Mancah, Cikgu An dan Adek pula menuju ke Petronas Simpang Pulai kerana mereka meletakkan kenderaan di sana. Kami akan berjumpa kembali di restoran ini. Se-sampai sahaja di sini aku terus memulakan operasi membungkus basikal. Dengan pannier dan body basikal yang kotor terkena lecah, aku gigihkan diri membuka apa yang patut untuk dimasukkan ke dalam beg basikal. Selesai mengemas aku dengan slumber pergi mandi di dalam tandas restoran mamak ini. Sorry cha. Serta bersolat di ruang khas restoran ini. Alhamdulillah, selesai tuntutan agama ini, team folding bike pun tiba. Kami makan malam di sini sambil melakukan post mortem, gelak ketawa dan usik-mengusik. Jam 8:30 malam aku dan Joe mengucapkan selamat jalan kepada Team Folding Bike Kuala Selangor. Semoga dapat ber-touring dengan mereka lagi. Memang sempoi. Aku dan Joe pula terus menuju ke Stesen Bas Sri Aman, Ipoh untuk mencari tiket bas pulang ke JB. Alhamdulillah aku dapat naik bas pada pukul 11:00 malam dan sampai di Skudai pada pukul 8:00 pagi keesokan harinya.

Bang jangan tangkap saya. Kami nak celebrate jer

Our route, Total distance approximately 190km
Enjoy video kami bertouring yang di edit oleh Cikgu An


TAMMAT

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Setiap permulaan pasti akan ada pengakhiran, tetapi setiap pengakhiran pasti akan membawa kepada kenangan yang akan membawa kepada pertemuan semula. Begitulah juga dengan kisah kami. Kami kembali bertemu di tempat yang membawa seribu kenangan, Cameron Highlands. Kayuh ke Cameron kali ini memang dirancang dari awal dan bertujuan untuk berkumpul semula setelah tidak berjumpa lebih kurang 2 tahun. Aku, Joe, Abg Man Cah, Cikgu An dan Adek kembali menawan Cameron. Tetapi kali ini kami disertai lebih ramai geng folding bike. Lebih ramai lebih meriah dan lebih gelak tawa. Aku dan Joe memulakan kayuhan sehari lebih awal dari Lumut manakala geng-geng foldie pula akan memulakan kayuhan dari Tapah. Kami merancang untuk bertemu di Kuala Woh, Tapah.

Setelah menaiki bas selama lebih kurang 10 jam dari JB, akhirnya aku kembali semula ke bandar Lumut. Setibanya di stesen bas, aku terus disambut oleh Joe. Dah lama aku tak lepak dengan Joe. Yelah. Masing-masing sibuk dengan perkara harian dan kami juga sudah jarang berkayuh bersama. Malam sebelum berkayuh, aku sempat lepak bersama geng-geng Manjung yang juga lama dah aku tak jumpa. Seli, Lord, Delly and Apit. Terima kasih korang sudi luangkan masa. Sejurus balik daripada makan bersama diorang, Joe start mengemas barang untuk esok dan aku pulak dah  standby nak tidur. Sekitar pukul 2:30 pagi, hujan turun dengan lebat membasahi lumut. Harap-harap hujan ni tak dibawa sampai ke pagi. Kami rancang untuk berkayuh awal.

Pukul 6:20 pagi aku tersedar. Di luar masih hujan. Aku bangun dan bersolat subuh. Selesai solat ingat nak mandi dan bersiap tapi melihatkan hujan masih lagi turun, dengan badan yang tersangat penat, hujan pulak dekat luar, aku sambung tidur. Nikmat dunia. Dalam pukul 7:30 pagi, hujan mula reda. Aku bingkas bangun dan mandi. Selesai mandi aku dan Joe bersarapan dan menyiapkan basikal. Kami memulakan kayuhan sekitar jam 9:15 pagi. Kami merancang untuk menuju ke Kuala Woh, tetapi apa-apa hal kami perlu sampai ke Tapah dahulu. 

Perjalanan hari ini memang menarik. Ini kerana kami akan melalui laluan yang baharu. Setelah mengayuh lebih kurang 10km, kami tiba di pekan Air Tawar. Mengikut google maps kami boleh tembus ke Kampung Gajah melalui satu jalan di mana kiri dan kanan jalan itu hanya nampak ke-'hijau'-an sahaja jika dilihat dalam maps. Kami pun gamble untuk melalui jalan ini. Setelah masuk ke simpang salah satu simpang, kami melalui kawasan perumahan. Di penghujung jalan perumahan ini, kami terpaksa melalui jalan berbatu-batu. Kami tetap meneruskan kayuhan. Setelah lebih 20 minit berkayuh, kami nampak pondok pengawal untuk ladang kelapa sawit persendirian. Nak patah balik memang jauh. Kami pun berjumpa dengan pengawal di situ dan 'slow' talk dengan diorang. Alhamdulillah. Diorang bagi kami lalu jalan ini dan mereka juga kata ada mat saleh yang pernah lalu jalan sawit nie. So mungkin diorang dah tak janggal jumpa orang bertouring dengan basikal kot. Maka bermulalah perjalanan di dalam ladang sawit. Menurut pengawal itu, kami perlu melalui dua ladang sawit, satu milik persendirian, satu lagi milik Felcra. Disebabkan hari ini hari cuti umum, memang takde orang dalam ladang sawit ini. Jarak laluan ladang sawit ini lebih kurang ~20km dengan jalan bertanah dan berbatu. Satu pengalaman baru bagi aku. Selalu tengok mat saleh mengayuh dalam ladang sawit kat Malaysia nie. Sekarang aku pulak nak merasa. 

Pengalaman kayuh kat dalam ladang sawit memang lain daripada yang lain ditambah pulak takde pekerja sewaktu kami kayuh. Segala-galanya bergantung pada google maps. Mujurlah dapat sambungan internet masa kat dalam ladang nie.

Setelah hampir dua jam bertarung dalam ladang kepala sawit, kami akhirnya keluar dan disambut semula dengan jalan berturap. Time nie memang rasa bersyukur dengan jalan berturap ini. Ketika sedang melalui jalan ini di tengah matahari terik, sebuah kereta yang melintasi kami meng-hon-kan kepada kami. Aku dan Joe buat tak kisah sebab memang dah biasa dengan situasi ini. Tiba-tiba kerana ini berhenti dan pusing menuju ke arah kami. Apabila kereta ini mendekati kami, rupa-rupanya kawan kami, Kat. Punyalah terkejutnya aku dan Joe. Mana tak terkejut, Kat nie duduk dekat JB. Aku yang duduk kat JB pon jarang jumpe. Kami pernah berkayuh dari Mersing ke Kuantan bersama-sama. Jumpa plak dekat jalan yang lengang, jalan kampung. Memang rare abes. Sempat berbual sekejap dengan diorang dan kami disapa oleh kenderaan polis yang sedang melintasi kami.

Selesai mini reunion, aku dan Joe meneruskan kayuhan. Dalam lima minit, aku nampak sebuah warung. Kami berhenti untuk makan tengah hari di sini. Nasi ayam dan air tebu jadi santapan aku untuk tengah hari ini. Puas. Selesai makan, aku meneruskan kayuhan. Kami melalui kampung gajah dan berhenti seketika untuk bergambar berlatar belakangkan sawah padi. Kami meneruskan kayuhan memasuki jalan kampung. Kami melalui pekan Tapah Road sebelum tiba di Bandar Tapah pada pukul 6:10 petang. Aku dan Joe berhenti sekejap di Masjid Tapah untuk bersolat. Pukul 6:40 petang, aku dan Joe memulakan kayuhan terakhir menuju Kuala Woh yang berjarak lebih kurang ~10km dari bandar Tapah. Lampu dah dipasang, vest keselamatan sudah dipakai. Kami berharap dapat sampai ke Kuala Woh dengan selamat. Kami mengayuh dalam keadaan gelap gelita menuju ke Kuala Woh. Apabila signboard Kuala Woh sudah kelihatan, hujan renyai mula turun. Aku dan Joe mengayuh dengan pantas. Alhamdulillah, sejurus kami sampai sahaja di kedai runcit simpang ke Kuala Woh , hujan turun dengan lebatnya. Kami berteduh sebentar di kedai runcit ini sebelum masuk ke tapak perkhemahan Kuala Woh. 




_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _
Opss sebentar, sebelum menutup bicara, aku nak review sekejap buku yang ditulis kawan aku, Idzwan Latif a.k.a Iyan bertajuk 'IMBAS KEMBALI'. Buku ini menceritakan kisah touring beliau pada tahun 2015 merentasi tiga negara, Vietnam, Kemboja dan Thailand sebelum pulang ke Malaysia menaiki keretapi di Bangkok. Bagi aku buku ini menceritakan pengalaman touring beliau dari sudut seorang pen-touring sejati dan seorang backpackers yang menjelajah bukan kerana destinasi tapi perjalanan yang ditempuhi. Beliau lebih suka bergaul dengan masyarakat tempatan, sama-sama merasai kesusahan rakyat dan pelajari sejarah yang terdapat di negara yang dilawatinya. Seperti yang diketahui Kemboja adalah negara bekas pimpinan Pol Pot yang kejam kerana membunuh rakyatnya sesuka hati. Dalam buku ini beliau menceritakan sedikit sejarah serta kesan kepada Kemboja daripada pemerintahan kuku besi Pol Pot. Apabila ber-touring satu perkara yang aku sedar kita takkan ikut plan asal yang telah dirancang dan pasti ada orang yang akan tolong ketika dalam perjalanan seperti kayuhan Cameron ini. Sama juga berlaku kepada Iyan di mana beliau terpaksa menukar plan atas sebab-sebab yang tak dapat dielak serta dibantu oleh rakyat tempatan yang peramah. Buku ini seronok dan sesuai di baca bagi mereka yang baru menceburi aktiviti touring, backpacking dan melancong. Apa-apa pun Kudos Iyan, kau dah ada buku. 🙌 🙏 🙌 🙏 🙌 🙏

Jadi bagi siapa yang berminat untuk membeli buku ini dengan harga RM25.00 (tak termasuk postage), bolehlah menghubungi idzwan latif ( Iyan di Facebook), ini kerana beliau kata buku ini tak dijual di pasaran terbuka. Ia hanya terdapat di 'Underground Scene' sahaja. Grab it NOW.   






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kembara Kroni Marin ke Selatan Siam ðŸ‡đ🇭

Kayuh-kayuh Cari Makan (Satun-Hatyai)

Bike Touring Chapter 3: Southern Thailand