Mencari Puyunghai di ceruk Kalibaru



Salam sejahtera kepada pembaca blog anak-anak kucing. Tajuk entri kali nie dah macam novel kan. Kisah yang aku nak kongsikan kali ini bukanlah tentang kisah cintan-cintun ataupun Puyunghai mahupun kayuhan basikal tapi aku akan ceritakan pengalaman aku mengejar angan-angan menjadi realiti. Menawan GUNUNG R.A.U.N.G. Mendengarkan namanya sahaja sudah meremamg bulu roma. Gunung ini terletak di Kalibaru, Banyuwangi, di hujung sebelah timur Pulau Jawa, Indonesia. Aku tahu pasal gunung ini sekitar tahun 2014, selepas ke Gunung Rinjani, Lombok. Apabila lihat gambar gunung ini di internet, wow!! Ini sesuatu yang mustahil bagi aku. Laluan gunung ini bukan biasa-biasa. Gunung ini amat sulit untuk didaki terutama sekali bagi seorang OKU seperti aku. Untuk menawannya aku terpaksa berhadapan dengan satu cabaran besar @ 'kelemahan' aku iaitu pengunaan tali. Sudah banyak kali aku menggunakan tali ketika mendaki gunung di Malaysia dan berjaya mengharunginya tapi kali ini berbeza. Amat berbeza. Baiklahlah, enough dengan serious-ness ini. Mari kita chillz dan baca entri sampai habis. OKAY.

"RAUNG. Pendakianmu amat sulit tapi percayalah kesulitan itu membuatkanku jadi lebih kuat ~ OGOS 2018"

Sewaktu baru mengenali gunung ini, aku memang tak pasang niat pun untuk ke sana kerana melihatkan tahap kesukarannya. Tapi pada 2015, aku perbaharui niat untuk ke gunung ini dan pada tahun 2018, Alhamdulillah, aku telah mendapat peluang untuk ke sana. Sedikit latar belakang mengenai XPDC ini. Trip ini dikelolai oleh Pak Syed, rakan sepergunungan aku ketika mendaki Gunung Chamah-Ulu Sepat (CUS) dan Gunung Fuji. Dia sudah lama dalam aktiviti mendaki gunung ini dan amat terkenal dikalangan pendaki di Malaysia. Ini kali KETIGA Pak Syed ke Gunung Raung. XPDC kali ini turut disertai sepasang suami isteri yang memang sempoi, Abang Zaki dan Kak Zu. Kami berempat memang serasi bersama sepanjang trip ini. Macam dah lama kenal. Ini adalah gunung pertama yang aku daki untuk tahun 2018 ini. Stamina? Layankan jerrr.

Kru ke RAUNG kali ini. Dari kiri: Pak Syed, Aku, Abang Zaki, Kak Zu

Trip kali ini, aku guna Malaysia Airlines (MAS) untuk ke Surabaya (Airport terdekat untuk ke Kalibaru). Ini kali pertama aku naik pesawat komersial MAS (except MASWings). Memang noob habis aku. Nak cucuk sambungan jack-headphone pun tak tahu dekat mana. Tak mengapalah. Setiap orang pasti akan lalui pengalaman pertama. Dok gitu. Dah sampai baru tahu nak cucuk dekat mana. Aku menjadi geladangan sebentar di KLIA kerana terpaksa overnight di sini kerana akan menaiki pesawat awal pagi. Aku tiba di Juanda Airport, Surabaya pada jam 0925 (waktu Indonesia) bersendirian. Aku perlu menanti ketibaan Pak Syed, Abang Zaki dan Kak Zu yang menaiki pesawat AirAsia. Selepas lebih kurang sejam menunggu, mereka tiba sekitar jam 1105. Sejurus keluar dari pintu airport, seseorang menyapa Pak Syed. Dialah Hari Subagio dari RAS Adventure, guide kami sepanjang XPDC ini. Ketika kami tiba di sini, hari ini (17 Ogos) bersamaan dengan Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke 73. Selamat Hari Kemerdekaan Indonesia. Supir/pemandu kami tiba untuk membawa kami ke BASE CAMP BU SEOTO di Kalibaru, penginapan pendaki Gunung Raung via Kalibaru. Tempoh perjalanan seterusnya yang akan kami tempuhi adalah selama 9 jam. YES, 9 J.A.M. Seolah-olah macam turun di airport Senai, Johor dan kemudian naik kereta pergi ke Pulau Pinang. Begitulah ibaratnya. Kami bertolak pada jam 1122, di mana ketika itu solat jumaat sedang berlangsung. Kami akan menjama'-kan sahaja solat tapi Hari berhenti sebentar untuk bersolat Jumaat kerana dia bukan taraf musafir. Selepas itu kami meneruskan perjalanan dan berhenti di sebuah RnR 24 jam untuk makan tengah hari. Dalam kereta, kami asyik berbual kosong untuk hilangkan rasa bosan ditambah dengan ketiadaan internet membuatkan kami lebih banyak berborak dan tidak ber-anti sosial di laman muka buku.

Suasana overnight di KLIA berbeza dengan KLIA2. Tak ramai kelibat orang yang tidur merata-rata berbanding KLIA2. Aku pulak sempatlah melelapkan mata sekejap di atas kerusi menunggu. Dekat dalam flight nanti kita tidurrrr!!!


Setelah aku mundar-mandir sejam lebih dalam airport bersendirian, akhirnya mereka sampai








Berhenti sebentar untuk lunch dan solat. Tempe cicah sambal di sini memang terbaik. Dekat sini suasananya lebih 'OPEN'. Tandas dan tempat solat 'terbuka' dikongsi bersama lelaki dan perempuan.

Antara scenery menarik sepanjang perjalanan kami menyelusuri kampung-kampung di sini

Gambar Blurrr ape pulak ni. Itulah tabung. Dekat sini apabila ada baik pulih jalan atau pembinaan masjid tepi jalan, pasti akan ada roadblok daripada orang kampung. Mereka akan menghulurkan tabung meminta derma. Bukan seorang yang minta tapi berlapis-lapis sampai 3-4 orang menghulurkan tabung. Pemandu-pemandu di sini sudah tahu dan supir aku juga kadang-kala melontarkan duit kepada mereka.

Kami berhenti di Bandar Jember seketika untuk membeli kartu sim/sim card. Malang sekali, sim card di sini tak dapat diaktifkan kerana perlukan pendaftaran daripada warga tempatan. Hari akan tolong meng-aktifkannya setelah sampai di Base Camp. Maka, tiada lagi Internet, mari sambung borak. Bagi mereka yang pernah menaiki kenderaan yang dipandu orang Indonesia, anda pasti akan terasa seperti jantung nak tercabut kerana kepantasan mereka memandu, seolah-olah seperti ada dua nyawa. Memotong kenderaan ketika ada kenderaan lain di hadapan, mencilok di antara kenderaan dan membunyikan hon, itu semua sudah biasa di sini. Tak senang aku dibuatnya. Kami singgah untuk makan malam di Warung Jerman sebelum masuk ke kampung menuju Base Camp. Kami meneruskan perjalanan menyelusuri jalan tak diturap memasuki kampung menuju Base Camp. Setibanya di Base Camp, kami di sambut mesra oleh tuan rumah serta para pendaki yang lain. Base Camp ini adalah tempat pendaki bermalam dan membuat persediaan. Mereka boleh menginap di sini semalaman, makanan turut disediakan yang dimasak oleh para ibu yang bekerja di sini. Disebabkan kepenatan yang melampau, selepas sahaja mandi dan kemas barang, kami terus bersedia untuk tidur. Keadaan di sini sangat dingin membuatkan kami terpaksa mengeluarkan sleeping bag. Sepanjang malam kucing rumah ini tidur nyenyak di hujung kaki di atas sleeping bag aku. Nak alih tak sampai hati. Sabar jer laaa...

Singgah sebentar untuk beli kartu sim. Bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan katanya. Pemilik kedai sim card sempat tanya khabar 'Kak Ros' kepada Pak Syed setelah tahu kami dari Malaysia. Pak Syed ingatkan Rosmah Mansur, tapi rupa-rupanya, Kak Ros, kakak kepada Upin Ipin daaa. Upin Ipin memang terkenal sampai ke Kalibaru.

Walaupun Jerman kalah teruk di Piala Dunia tapi Warung Jerman di Kalibaru tetap utuh.

Bila di negara orang kita mesti rasa makanan dengan nama-nama yang pelik. Macam makanan ini. Namanya Puyunghai. Telur dadar bersama sup ayam pekat. Untuk minuman aku order Es Soda Gembira. Memang bergembira aku malam itu.

BASE CAMP BU SEOTO. Tempat berkumpul para pendaki Raung.

Ruang tamu II menjadi tempat tidur malam pertama kami. Ruang tamu utama dan bilik-bilik lain sudah dipenuhi dengan pendaki lain.

Ruang tamu utama dah macam muzium wall of fame. Dipenuhi gambar-gambar serta banner club para pendaki yang menginap di sini.

Hari kedua di Kalibaru, aku bangkit solat Subuh setelah terjaga kerana orang sudah mula lalu lalang melintasi tempat tidur kami untuk ke tandas. SEJUKKKK. Aku tekadkan diri untuk mandi buat kali terakhir kerana selepas ini aku tak tahu bila lagi aku berpeluang untuk mandi. Selesai mandi, solat dan berkemas, kami menunggu breakfast siap sambil melihat kumpulan pendaki yang lain bersiap untuk ke POS 1 dengan menaiki GOJEK. Bagi sesiapa yang tak tahu apa itu gojek, gojek ini macam GRAB tapi versi motosikal. Tapi kat sini istilah sahaja, gojek di sini adalah orang-orang kampung ini juga. Selesai breakfast, tunggangan pun sampai dan kami menuju ke pos 1 setelah mendaftar. Pengalaman menaiki motor menuju ke pos 1 memang 'once in a life time' punya experienced. Untuk ke pos 1, laluan yang akan dilalui adalah jalan kebun yang kecil. Mereka membawa motosikal dengan sangat laju, rasa macam naik roller coaster. Turun, naik, jalan belecah, berbatu, berhenjut-henjut aku selama 20 minit di tempat duduk belakang sebelum tiba di Pos 1. Kami gelar pos 1 ini pos mengopi kerana sampai sahaja di sini, kami dijemput untuk minum kopi oleh tuan rumah dan kopi yang kami minum adalah kopi daripada kebunnya. Fresh dari ladang. Dapatlah rasa KOPI RAUNG. Memang terbaik. Tak boleh nak minum banyak-banyak sebab takut ter-cirit pulak masa berjalan nanti.

Antara kem-kem yang perlu ditempuhi sebelum tiba di puncak yang berketinggian 3,344m.

Pos 1. Tempat mengopi, final briefing dan membuang segala yang tak diperlukan dalam badan. Walaupun rumah ini terletak nun jauh dalam kebun kopi tapi tak pernah sunyi kerana sentiasa ada pendaki yang singgah sebelum dan selepas mendaki.

Pasangan serasi bersama. Abang Zaki dan Kak Zu. Tak pernah pergi hiking bersendirian. Pasti akan sentiasa bersama. Berdua itukan lebih baik.

Perjalanan hari ini mengambil masa 6-7 jam untuk ke Kem 7, iaitu tempat perkhemahan kami sebelum menuju ke puncak pada awal pagi keesokkan harinya. Kami memulakan perjalanan sekitar jam 8:40 pagi. Perjalanan untuk ke Kem 1 (980m), Kem 2, Kem 3 dan Kem 4 (1,855m) hanya landai dan terdapat sedikit sahaja pendakian. Bermula dari kem 4 menuju ke kem 5 (2,115m), kem 6 (2,235m) dan kem 7, perjalanan menjadi sedikit sukar kerana melibatkan pendakian. Nama pun mendaki gunung. Jadi kena hadaplah semua ini. Kami berhenti lunch di kem 4 dan makan nasi putih berlaukkan ayam dan tempe yang diberi ketika di Base camp. Terdapat juga pendaki yang berkhemah di Kem 4 ini sebelum menuju puncak tapi kami lebih prefer untuk berkhemah di Kem 7. Setelah mendaki berjam-jam lamanya, kami tiba di Kem 7 sekitar jam 1630. Nasib kami baik kerana khemah kami telah siap di pasang. Servis memang terbaik. Kem 7 yang berketinggian 2,541m dari aras laut membuatkan keadaan di sini agak sejuk. Pada petang itu, kami dihidangkan dengan sunset yang cukup cantik. Aku, abang Zaki dan Kak Zu tak lepaskan peluang berposing dengan sunset dari Kem 7 Raung via Kalibaru.

Masa mula-mula masih boleh layan apabila gambar diambil

Check point 1 (BUKAN kem 1): Laluan masih okay. Hanya melalui kebun-kebun kopi orang kampung.

Kem 1: Ini gambar masa naik, masih ceria, excited, berposing ala model. Semua tempat pasti bergambar. Tapi amat berbeza ketika turun/pulang. Para pendaki pasti tahu perbezaan raut wajah apabila mula mendaki dan hendak pulang. Kan kan kan...

Kem 2: Pak Syed bertafakur sebentar

Masa ini masing-masing masih ceria bila bergambar

Berposing ala-ala Hindustan katenyer di bawah pohon yang Bapok besor

Pendakian sebenar bermula


Dari raut wajah dah tahu level kepenatan masing-masing

Touchdown kem 7. Khemah oren paling depan ini khemah aku dan Pak Syed. Khemah hijau pula khemah Abang Zaki dan Kak Zu. Dapur pula bersebelahan khemah aku. So tak perlu keluar khemah bila nak ambil makanan. TERBAIK.

Muka-muka orang kepenatan tahap cipan!!!

Senyum lebor Kak Zu apabila Abang Zaki buat suprise dengan bagi air kemenangan apabila tiba di Kem 7. So Sweetttttt.

Senja di Kem 7. Mamat ini aku tak kenal tapi cara dia posing memang cun. So aku snap photo ini untuk tunjukkan bakat mengambil gambar aku.

Selepas matahari terbenam, suhu sekitar menjadi sejuk ditambah pula dengan deruan angin jahat. Aku dan Pak Syed hanya mampu duduk dalam khemah. Pak Syed tidur seketika dan aku pula duduk melihat Hari dan Pak Tosan masak makan malam iaitu nasi putih bersama ayam dan tempe goreng serta sup sayur. Simple tapi sedap. Selesai makan aku bersiap untuk tidur dan Pak Syed pula mahu keluar untuk solat. Aku ucapkan selamat maju jaya kerana keadaan di luar sangat-sangat sejuk. Kami perlu tidur dan bangkit semula sekitar jam 0100 untuk bersiap memulakan pendakian ke puncak. Malam itu keadaan aku amat malang sekali kerana zip pintu khemah di sebelah aku rosak. Jadi pintu khemah sedikit terbuka. Kecacatan yang kecil ini membawa perbezaan besar kerana terasa seperti tidur dalam ruang pembeku peti ais. Sejujurnya, aku memang tak dapat tidur langsung malam itu. Pusing kiri, pusing kanan, masih tak dapat lelap. Kalau dah dapat posisi tidur yang sedap, hidung pulak buat hal. Terasa sejuk mencucuk-cucuk. Aku cuba 'bungkus' hidung aku tapi tak dapat bernafas pulak. Memang banyak dugaan malam itu. Sekitar jam 12:30 pagi, Hari dan Pak Tosan sudah mula bangun untuk menyediakan makanan sebelum mendaki. Aku  keluar seketika walaupun cuaca yang SEJUK untuk melepaskan 'hajat'. Ya Allah. Angin sejuk terus menerpa sejurus aku keluar. Terbayang dalam fikiran, macam manalah nak mendaki dengan keadaan seperti ini. Selesai urusan, aku terus masuk semula ke dalam khemah. Menu awal pagi ini simple sahaja, Mee Goreng Sedap, hanya sebagai pengalas perut. Sejujurnya aku memang tak berselera pagi ini kerana cuaca sejuk tapi aku paksakan juga makan untuk beri tenaga. Selasa sarapan/'late supper', kami bersiap dan kami perlu membawa air persendirian, jajan serta peralatan keselamatan masing-masing seperti helmet dan tali pengikat keselamatan.

P/S: Part ini takde gambar sebab masing-masing tengah kesejukan. Sambung ke episod seterusnyer.

Banyak kumpulan yang bergerak malam ini dan kami antara yang terakhir memulakan perjalanan iaitu sekitar jam 0220. Suhu ketika ini sangat sejuk memaksa aku memakai lima lapis pakaian (baju tight + 3 helai T-shirt + Baju sejuk). Baju-baju ini aku pakai siap-siap sebelum tidur lagi, jadi bangun daripada tidur dah siap, tak perlu nak salin-menyalin baju dalam suhu sejuk sebegini. Kami memulakan pendakian dengan kelajuan biasa di awal perjalanan. Tapi guide kami, Hari menyuruh Kak Zu yang berada di hadapan, untuk memotong sahaja mereka yang perlahan. Jadi sedikit demi sedikit kami memotong kumpulan di hadapan. Sampai sahaja di Kem 8, kami menjadi leading group. Kami meneruskan pendakian ke Kem 9. Pendakian ke kem 8 dan 9 berlatarbelakangkan pokok-pokok renek seperti bongsai. Pokok-pokok inilah yang melindungi kami daripada tiupan angin sejuk. Sampai di Kem 9, azan subuh berkumandang melalui telefon aku. Melihatkan Hari bersolat subuh di sini, dengan pantas aku cepat-cepat berwudhuk dan bersolat. Suasana sekitar masih lagi gelap. Di kem 9 ini para pendaki akan mula memakai helmet dan tali pengikat keselematan. Selepas dari kem 9, kami akan tiba di puncak pertama iaitu Puncak Bendera. Bermula dari sini, landskap sekeliling berubah 100%. Tiada lagi pokok renek yang melindungi kami. Yang ada hanyalah kawasan tandus, bercerun dan berbatu-batu sahaja.

Kem 8 berketinggian 2,876m dari aras laut. Jika dilihat jarak ke kem 9 hanya 400m tapi azabnya amat menyeksakan.

Suasana gelap di kem 9

Semua pendaki dikehendaki memakai peralatan keselamatan ketika di kem 9 sebelum meneruskan perjalanan

Setibanya di Puncak Bendera, cahaya matahari sudah sedikit kelihatan tapi keadaan sekeliling masih gelap. Hendak bergambar ketika ini pun takkan nampak apa-apa. Jadi kami meneruskan perjalanan. Angin sejuk bertiup kencang ketika di sini. Ada beberapa kumpulan yang berhenti bersolat di puncak bendera. Kami pula meneruskan perjalanan sebagai leading group untuk pendakian hari ini. Dengan hanya mengharapkan cahaya headlamp menerangi jalan, kami memulakan langkah dengan berhati-hati. Memang benarlah kata mereka yang pernah ke sini, segala-galanya cerun. Hanya susur kecil yang kami lalui ini sahaja jalan untuk ke Puncak Sejati. Setelah berjalan hampir 10 minit kami tiba di halangan bertali pertama. Di Gunung Raung ada beberapa halangan bertali. Tali akan digunakan jika laluan tersebut boleh membahayakan seperti melalui cerun yang hampir dengan gaung dan laluan yang sedikit berbukit curam. Kepada mereka yang memang ada fobia pada ketinggian, memang sukar untuk lepasi halangan ini. Cara guide di sini melakukan routine untuk ke puncak adalah dengan memasangkan tali pada tebing bersebelahan laluan dan akan membuka semula tali tersebut setelah semua ahli kumpulan selamat melaluinya. Guide kumpulan lain akan memasang semula tali masing-masing untuk ahli kumpulan mereka begitu juga dengan kumpulan seterusnya. Guide kumpulan pertama tak tinggalkan tali untuk kegunaan kumpulan lain kerana mereka akan gunakan tali ini untuk halangan bertali seterusnya. Jadi guide untuk setiap kumpulan berperanan besar bagi memastikan tali yang dipasang selamat untuk mereka lalui.

Setibanya di Puncak Bendera, pendaki akan disapa oleh bendera Indonesia yang megah berkibar. Gambar ini diambil setelah turun dari puncak.

Di Puncak Bendera inilah pendaki akan membuat keputusan sama ada untuk meneruskan perjalanan berliku atau berpatah balik setelah melihat laluan yang akan ditempuhi. Pilihan di tangan anda.

Hari, guide kami juga tak lepaskan peluang menghayati keindahan alam di Puncak Bendera.


Sambil menunggu Hari memasang tali, cahaya matahari mula kelihatan di langit. Pada ketika ini kami mula nampak sedikit demi sedikit landskap sebenar kawasan Gunung Raung ini. Memang mengagumkan. Kami terasa amat kerdil. Ya Allah, sungguh indah ciptaan-Mu ini. Keindahan pagi itu ditambahkan lagi dengan awan karpet yang sangat menakjubkan. Walaupun terpesona dengan keindahan ini, perjalanan mencabar harus diteruskan. Antara halangan bertali paling sukar bagi aku adalah ketika menuruni cerun dengan cara abseiling. Kalau tersilap langkah atau terlepas, boleh terus jatuh ke dalam gaung. Inilah kelemahan aku, menuruni bukit dengan bertali dan perlu menghadap kebelakang (abseiling). Tapi dengan pertolongan Hari, walaupun sedikit perlahan aku berjaya mengharunginya. Alhamdulillah. Selepas itu kami perlu melalui laluan terkenal di Gunung Raung ini yang digelar titian Siratulmustaqim. Ia diberi gelaran sebegitu kerana laluannya yang agak sempit (sekitar setengah meter), kiri dan kanan pula adalah gaung. Ditambah pula dengan angin lentang yang merentasi laluan itu. Sebelum ke sini, aku ada lihat di Youtube terdapat pendaki yang merangkak ketika melalui laluan ini. Jadi kepada mereka yang tak yakin, jangan malu nak merangkak, okay. Ini soal keselamatan. Semasa melalui laluan ini, aku berjalan seperti biasa tapi aku tak berani nak pandang bawah. Memang menggerungkan. Anda boleh tonton keadaan ketika kami melalui titian siratulmustaqim ini di video di bawah.

Dikegelapan subuh, Hari sibuk memasang tali keselamatan

Sambil menunggu Hari memasang tali, kami sempat menghayati sunrise yang begitu indah.

Menikmati suasana 'dawn' yang indah

Sesukar mana pun pendakian, kalau dijamu permandangan sebegini, memang hilang lelah

Cerun tak cerun. View cantik jangan dilepaskan.

Steady-lah Pak Syed, orang lama-lah katakan.

Melihat dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah yang agung.

Selesai melalui halangan bertali, kami akan melakukan pendakian terakhir untuk ke puncak. Pendakian ini tak menggunakan tali, hanya perlu mendaki dan terus mendaki. Tapi laluan yang dipilih adalah mengikut kreativiti sendiri. Disebabkan kami 'leading group', kami perlu menuju penanda (bendera kecil) agar tak off-course. Tapi disebabkan pendakian ini melibatkan batu-batu yang 'loose', kami perlu berhati-hati ketika memijak. Jika tersalah pijak, batu-batu ini boleh bergolek jatuh dan menimpa mereka yang berada di bawah. Sebab itu helmet perlu sentiasa dipakai. Pendakian terakhir ini amat memenatkan. Tapi segala penat lelah amat berbaloi setelah tiba di atas. Ketika hampir sampai ke puncak, Hari menunjukkan pada arah bendera Indonesia yang berkibar. Itulah Puncak Sejati. Tanpa membuang masa aku melebarkan langkah menuju bendera itu. Alhamdulillah, setelah berjalan selama hampir 5 jam, tepat pada jam 0735, kami berjaya menjejakkan kaki di Puncak Sejati. Setibanya aku di sini, kelihatan papan tanda puncak sejati berlatarbelakangkan kawah terbentang luas, aku sujud syukur kepada Allah di atas kejayaan menawan Puncak Gunung Raung. Sukar nak dibayang betapa indahnya berada di puncak ini. Kami kelihatan sangat kerdil di hadapan ciptaan Allah yang agung ini. Kawah yang terbentang luas dengan ditengah-tengahnya terdapat gunung berapi kecil yang masih aktif. Setelah menikmati keindahan puncak sejati, its photo time. Masing-masing keluarkan bendera. Abang Zaki dan Kak Zu mengeluarkan bendera Malaysia, Penang dan Nogori Sombilan. Aku pulak keluarkan mini bendera Malaysia. Bila difikirkan kembali tarikh kami berada di puncak iaitu 19 Ogos, kami berada di antara tarikh kemerdekaan Indonesia (17 Ogos) dengan Malaysia (31 Ogos). Jadi ia sesuatu yang bermakna bagi aku untuk dua negara serumpun ini. Selamat menyambut hari kemerdekaan Malaysia dan Indonesia.

Pendakian terakhir ini memang memenatkan. Tengok muka aku pun dah tahu azabnya.

Puncak Gunung Raung @ Puncak Sejati kami telah tawan. Alhamdulillah.

Puncak Sejati, Checked!!

Kaki tengah terketar-ketar berdiri dekat atas batu tu woo..

Upacara apa pulak nie? Upacara angkat nikah ke ape nie? Inilah jadinya bila dah tak tau nak posing ape lagi kat puncak.

Pak Syed berjaya tawan Puncak Sejati buat kali ke-3. Tahniah

Amazing view dari puncak sejati

"Bang, mari berfoto bareng". Itulah yang disebut rakan-rakan pendaki Indonesia. Kami pun tanya, "Barang? Barang apa?" OOOO. Bareng=bersama (bahasa jawa). Sampai turun kami berjenaka dengan perkataan 'bareng' ini.


Setelah hampir satu jam berada di puncak, kami memutuskan untuk turun bagi mengelakkan kesesakan. Sebelum turun Hari membawa kami ke Puncak Tusuk Gigi untuk bergambar. Selesai bergambar, kami mula turun melalui jalan yang sama. Untuk turun cabarannya berbeza dengan mendaki. Sepanjang perjalanan turun, kami berselisih dengan pendaki yang masih meneruskan pendakian untuk ke puncak. Kepenatan terpampang di raut wajah mereka. Sewaktu turun, aku tak rasa tergesa-gesa, sebaliknya aku menghayati sepenuhnya keindahan sekeliling. Sampai sahaja di Kem 9 ada seorang budak lelaki yang rupa-rupanya dia 'give-up' untuk meneruskan pendakian setelah melihat laluan ke puncak Sejati dari puncak Bendera. Mungkin dia fobia pada ketinggian. Rakan-rakannya yang lain meneruskan pendakian dan dia akan pulang ke basecamp. Aku pun terfikir, dia mesti tak buat kaji selidik dahulu dan hanya mengikut ajakan rakan. Apa-apa pun kalau tak bisa jangan dipaksa. Safety first. Alhamdulillah setelah turun selama 3 jam, kami tiba di kem 7 dengan selamat pada jam 1130. Kami disambut Hari yang tiba lebih awal dan memberikan buah melon sebagai tanda kejayaan. Memang menyegarkan. Ketika sedang rehat, ada kumpulan yang baharu tiba di kem 7, iaitu mereka yang akan mendaki pada keesokannya pula. Mereka bertanya adakah kami rasa gegaran ketika mendaki kerana mereka kata hari ini Lombok bergegar lagi dan gegaran tersebut dapat dirasai di perkampungan di bawah. Kami tak rasa apa-apa pun. Aku sangat bersyukur kerana tak diuji dengan bencana ini. Disebabkan kami tiba awal di kem 7, kami cadang mahu turun terus ke BASE CAMP BU SEOTO setelah mendapat persetujuan semua. Antara sebab utama adalah kerana kami sudah tak sanggup lagi untuk tidur dalam kesejukkan di kem 7 ini. Biarlah berpenat turun untuk seketika tapi harap-harap dapat tidur dengan lena di bawah nanti. Jadi setelah berkemas dan bersolat, kami memulakan perjalanan pulang pada jam 1400.

Puncak Tusuk Gigi. Mengigil berdiri dekat atas batu ni.

Nak turun kami tak tergesa-gesa. Duduk layan view macam nie memang terbaik.


Dari puncak Bendera dapat lihat laluan ke Puncak Sejati yang berliku-liku. Yes, we already finish menghadap laluan ini.


Bersiap untuk turun ke BASE CAMP Bu Seoto. Selamat tinggal kem 7.

Group kami di Kem 7, bersiap untuk mengharungi azab turun ke Pos 1

Abang Zaki, Kak Zu, Pak Syed serta Hari, masing-masing turun dengan pantas. Aku pula terkebil-kebil dekat belakang, berhati-hati ketika turun. Pak Tosan tabah berada di belakang aku walaupun 'pace' dia sebenarnya laju. Dari awal lagi Hari berjalan laju di hadapan. Ketika di kem 3, aku masih boleh mengekori mereka, tapi jari-jari kaki aku mula terasa sakit. Jadi aku perlahankan langkah dan berjalan mengikut kelajuan sendiri. Sampai sahaja di Kem 1, kami berhenti seketika tanpa Hari yang teruskan perjalanan. Suasana sekililing sudah mula gelap, waktu pula menunjukkan pukul 0530, menandakan waktu Maghrib sudah tiba. Mujur kami sudah keluar dari kawasan hutan dan berada di kawasan kebun kopi. Kami bergerak bersama-sama dan fokus berjalan dalam gelap tanpa memasang headlamp. Tiba-tiba ada cahaya dari belakang. Pak Tosan memasangkan headlampnya yang agak malap menyuluh jalan di hadapan. Kak Zu mengesyorkan agar Pak Tosan berada di hadapan untuk memberi petunjuk laluan tapi Pak Tosan tak mahu kerana dia diamanahkan untuk menjadi 'last man'. Nasib baiklah kerana kalau tak aku yang akan berada di belakang. Huhu. Akhirnya kami mengalah pada kegelapan dan keluarkan headlamp masing-masing. Pak Tosan memang terbaik,  menjaga kami sehingga keluar dengan selamat. Setelah penat berjalan dalam gelap, akhirnya kami sampai di Pos 1 sekitar jam 1815.  Hari yang tiba lebih awal kelihatan sedang sibuk menelefon bagi mendapatkan gojek untuk ke rumah Bu Seoto. Aku memang sudah tak larat lagi. Sejurus meletakkan beg, aku terus terbaring di atas tempat duduk. Pak Syed, Abang Zaki dan Kak Zu pula masuk ke dalam rumah dan menghirup kopi panas. Jujur aku kata, ini antara perjalanan paling penat yang pernah aku lalui. Kaki aku lemah longlai dibuatnya. Bermula dari pukul 0200 pagi tadi hinggalah pukul 1800. I need rest, I need rest. Fuhhh.

Tarik nafas sebelum menghadap laluan turun yang memenatkan

Kedengaran bunyi gojek dari celah kegelapan malam. Pengalaman menaiki gojek pada waktu siang dan malam adalah berbeza. Bagaimana mereka akan membawa kami pada waktu malam gelap begini? Perlahan atau laju. Jawapannya, SAMA sahaja. Mereka memecut laju melalui jalan kebun dengan hanya bertemankan lampu motor yang 'malu-malu' nak hidup. Aku yang berada di belakang memang tak nampak apa-apa di hadapan. Supir aku juga sempat berborak sambil memecut laju. Ada suatu ketika, motor aku hampir tebalik kerana melalui laluan berlecah dan aku hampir-hampir terjatuh. Mujur dengan pantas supir aku kembali mengimbangi motornya. Dia sempat kata, "Jangan risau, supirnya ini handal." Aku yang berada di belakang memang dah tak senang duduk. Kami tiba di rumah Bu Seoto setelah menunggang selama 20 minit. Aku mengucapkan terima kasih kepada supirku kerana selamat membawa aku keluar. Setibanya di sini, ada berita yang tak menyenangkan. Bekalan air di rumah ini TERPUTUS. Alamakkk!!! Aku sudah terbayang dapat mandi untuk menyegarkan badan yang melekit ini. Mujurlah Udin, anak kepada pemilik base camp ini mempelawa kami untuk mandi di rumah orang kampung berdekatan yang ada kolah air. Dapat juga mandi dan menyegarkan badan yang sudah lesu ini. Selesai mandi dan solat, mereka membawakan kami makan malam iaitu pecel. Fuhh. Memang terbaik. Selasai makan kami duduk melepak sambil merehatkan badan di dalam bilik. Pada waktu inilah sesuatu yang mengejutkan berlaku. Aku terasa seperti rumah ini bergegar. Aku pandang Kak Zu, Kak Zu pandang aku semula dengan muka cemas. GEMPA BUMI. Kami dapat rasakan gegaran kecil. Hari muncul dan mengatakan ada gegaran kecil. Kedudukan Kalibaru yang berdekatan dengan Lombok membuatkan kami terasa sedikit tempias gempa bumi. Ini adalah pengalaman pertama aku merasai gempa bumi. Bukan meminta tapi sekurang-kurangnya dapat merasai apa yang dirasai mangsa. Ini hanya gegaran kecil. Bagaimana pula dengan mereka yang berada di Lombok. Selepas itu, tiada lagi gegaran yang dapat dirasai. Kami pun terus masuk tidur kerana kepenatan yang teramat sangat.


Waktu hendak bangun pagi untuk ke tandas, Ya Allah, kaki aku terasa sangat-sangat lenguh. Aku gigihkan juga diri ini. Pagi ini kami ucapkan selamat kepada mereka yang akan mendaki hari ini. Bulan ini merupakan antara waktu tersibuk untuk mendaki Gunung Raung. Jadi, boleh dikatakan setiap hari pasti akan ada tetamu baharu bermalam di sini. Walaupun dapat turun awal tapi supir mobil kami hanya akan tiba di sini sekitar waktu petang nanti untuk bawa kami pulang ke airport Surabaya. Jadi kami banyak masa melahu. Aktiviti pagi ini bebas tapi Hari mengajak kami pergi ke kawasan air terjun berdekatan. Kami perlu berjalan kaki sekitar 20 minit untuk ke sana. Ketika melalui kawasan kampung untuk ke air terjun, aku dapat lihat aktiviti harian penduduk kampung ini. Kebanyakkan mereka mengusahakan tanaman kopi. Mereka akan jemur biji-biji kopi di hadapan rumah sebelum dikisar untuk dijadikan serbuk kopi. Kami juga dapat perhatikan gelagat anak-anak sekolah yang sedang kawad berkaki ayam di atas jalan yang baru diturap malam tadi. Orang lelaki pula sibuk keluar masuk kebun dengan menaiki motosikal. Untuk masuk ke kawasan air terjun kami perlu membayar IDR 4,000 seorang. Aduh tangga!! Kaki aku sudahlah teramat lenguh dan sekarang terpaksa menuruni tangga untuk ke air terjun. Aku berjalan seperti kanak-kanak kecil, turun dengan perlahan dan terkedek-kedek. Hanya Allah yang tahu betapa sakitnya kaki aku ketika ini. Pendaki gunung pasti tahu azab ini, terutama sekali sesudah turun dari gunung. Ketika tiba di kawasan air terjun, ada seorang lelaki berada di sini. Dia juga pendaki yang baru turun dari Raung. Lantaklah jika airnya sejuk, yang penting aku mahu mandi. Aku, Abang Zaki, Hari dan pria tadi, bersama-sama mandi dan bergambar. Dapat urutan badan daripada jatuhan air terjun memang terbaik. Kami luangkan masa hampir sejam di sini. Selesai mandi, Hari, aku dan Pak Syed terus pulang tapi Abang Zaki dan Kak Zu sempat pusing keliling kampung serta membeli-belah hasil tangan orang kampung. Sekitar jam 1300, supir telah tiba tapi kami akan bertolak pada pukul 1700 nanti. Ini adalah untuk memberi peluang kepada supir yang baru tiba dari Surabaya untuk berehat sebelum memulakan semula perjalanan pulang yang pasti memenatkan.

Dapat dilihat si isteri duduk di atas daun-daun di belakang motor yang di bawa si suami.
Udah macam singgah-sana sang permaisuri.

Biji kopi dijemur dahulu sebelum diproses. Kepada penggemar kopi, ini mesti 'heaven' bagi mereka.

Air terjun yang simple dan tak ramai orang. Yang penting dapat mandi.


Bersiap untuk mandi.

Enjoying waterfall massage.

Mari berlibur bersama-sama

Selesai mengemas, kami bersiap untuk pulang ke Surabaya.  Terima kasih diucapkan kepada ibu-ibu yang begitu mesra sepanjang kami menginap di sini. Sepanjang perjalanan pulang, kami hanya tidur sahaja dalam kereta. Kami sempat berhenti di RnR yang sama dan rasai keenakan tempe di sini buat kali terakhir. Alhamdulillah, kami selamat sampai di airport Surabaya sekitar jam 0130. Kelihatan pintu airport masih tutup, jadi kami terpaksa merempat di luar airport. Aku, Abang Zaki dan Kak Zu akan pulang ke Malaysia. Pak Syed pula akan meneruskan perjalanan ke Gunung  Bromo dan Gunung Argipuro. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hari dari RAS Adventure yang menjaga kami dengan baik sekali sepanjang XPDC. Pak Syed juga mahu menyambung perjalanannya dan kami mengucapkan selamat tinggal. Aku pula mengucapkan selamat jalan kepada Abang Zaki dan Kak Zu kerana pesawat mereka akan berlepas dahulu. Maka tamatlah perjalanan Gunung Raung aku untuk kali ini. Bagi aku Gunung Raung memang mencabar. Tapi untuk mengatakan ia gunung paling mencabar pernah aku daki adalah tak adil. Setiap gunung ada cabaran masing-masing dan cabaran itu akan menjadikan diri kita semakin kuat. Yang penting, berjuta kenangan indah terlakar di sini. SEKIAN. Enjoy d VIDEO

Safely arrived at Juanda Airport, Surabaya. Masing-masing tengah penat tahap gaban.


Bersedia untuk pulang, meninggalkan beribu kenangan manis di sini

Terima kasih kepada Hari dari RAS Adventure yang tak jenuh melayan karenah kami sepanjang XPDC.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

LONDONium

Kembara Kroni Marin ke Selatan Siam ðŸ‡đ🇭

Bike Touring Chapter 3: Southern Thailand