Bike Touring Chapter 2: Alor Setar - Lumut (DAY 3 & DAY 4)

trip HAUK dengan geng SAWIT

Pakcik Motoooo!!!!

Day 3

Kami tidur agak lewat malam sebelumnya dan terpaksa ber'perang' dengan si penghisap darah. Dengan rasa tanggungjawab, aku gagahkan diri untuk bangun, mandi, Solat Subuh dan kejutkan geng-geng sawit. Setelah berehat seharian, hari ini kami akan mengayuh semula. Sebelum bergerak kami sempat ber'posing' di depan Local Houz dan Saraa menghadiahkan satu coretan kartun untuk Local Houz. Kami tak dapat ucap selamat tinggal kepada krew Local Houz kerana diorang masih lagi tidur. Destinasi yang dituju hari ini adalah Taiping tetapi...

Bye-bye Local Houz

Goodbye Local Houz, till next time

Pada pukul 8:40 pagi, kami mula bergerak mencari kedai makan untuk bersarapan bersama Lala. Selepas sarapan dan mengucapkan selamat tinggal kepada Lala, kami memulakan kayuhan pada jam 9:45 pagi, sedikit lewat. Hari ini kami akan menyusuri Daerah Seberang Perai sebelum memasuki Negeri Perak. Kayuhan untuk hari ini agak mencabar kerana melalui jalan bandar dan terpaksa mendaki beberapa flyover dan Jambatan Lintasan Keretapi. Setelah mengayuh lebih kurang 2 jam kami berhenti sekejap pekana air kelapa di tepi jalan. Perghh...

Air kelapa dan cuaca panas memang berpisah tiada



Kami meneruskan kayuhan dan decide untuk makan tengah hari di Parit Buntar. Parit Buntar merupakan satu daerah di Perak yang menjadi titik sempadan bagi tiga negeri, Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Setelah melihat peta kami menuju Mydin Parit Buntar untuk lunch. Kami rasa bertuah kerana Food Court di Mydin Parit Buntar terletak di bahagian luar mall dan di kawasan terbuka. Jadi kami boleh perhatikan basikal kami tanpa perlu menguncinya. Kami semua memilih untuk makan nasi kandar kuah kasi campur selepas penangan Nasi Kandar Deen Maju masih bermain-main di dalam fikiran kami.

Ketua kami, Saraa sedang sibuk memerhatikan route

Welcome to Perak. Kami meneruskan perjalanan selepas lunch  melalui Jalan Bagan Serai - Parit Buntar. Jalan yang lurus, membosankan, mengantuk dan ditambah dengan panas terik. Apa boleh buat, kayuh tetap kayuh. Stesen minyak, berhenti, berehat, menandas, semua itu perkara biasa. Taiping mesti harus dicapai kerana aku sudah booking sebuah hotel di sana. Tapi mesti diingat, Taiping memegang satu gelaran di Malaysia dan gelaran ini memang bukan sesuatu yang sedap untuk didengar bagi pengayuh basikal seperti kami. Taiping adalah bandar paling lembab di Malaysia. Ini kerana menurut penduduk setempat, dalam seminggu pasti akan hujan. Kami terus kayuh sehinggalah sampai di Simpang Empat Semanggol, Perak. Kami buat hentian seperti biasa tapi apabila lihat di hadapan keadaan awan agak menakutkan. Dalam fikiran kami, memang overtime lagi-lah malam ini.

Langit yang menyeramkan untuk kami teruskan kayuhan ke Taiping

Saya memutuskan untuk mencari stesen minyak terdekat dan bersolat tapi setibanya di sana tiada tempat solat. Saya ke masjid kampung tapi masjid tengah renovate, saya pun ke surau berdekatan. Selesai solat, Saraa menyuruh saya kembali ke stesen minyak. Setibanya di sana, ada kelibat seorang lelaki sedang rancak berborak dengan mereka dan dia adalah Abang Zaidi, seorang otai touring. Apa yang menariknya, menurut beliau dia mengenali kami melalui post2 di Group Facebook Touring Malaysia sehari dua ini oleh Pak Puad Waksa tentang kehadiran kami di utara tanah air. Jadi dia memang ingin membantu kami. Saraa berkata abang Zaidi mengajak kita untuk tidur di rumahnya (APA!!!!) dan membatalkan booking hotel di Taiping. Jarak Simpang Empat Semanggol ke Taiping lebih kurang 20km lagi. Memerhatikan keadaan awan dah tak keharuan, saya pun setuju untuk tidur di rumah abang Zaidi. Sebelum ke rumahnya kami singgah makan malam yang dibiayai abang Zaidi. Terima kasih abang. Memang rezeki kami hari itu. 
 
Mengisi perut sambil mendengar cerita Abang Zaidi

Kediaman Abang Zaidi

Selesai makan malam kami menuju ke rumahnya. Kami disambut ahli keluarga beliau dengan begitu mesra sekali. Menurut abang Zaidi dia minat mencuba semua benda. Fotografi, backpackers, touring dan bermacam-macam lagi. Kami tertarik mendengar cerita beliau backpackers sebulan di Korea, ber'touring' dari Bangkok ke Malaysia dan ber'touring' pusing semenanjung Malaysia. Abang beliau juga kaki berjalan dan dia juga pernah bekerja di Korea. Memang seronok mendengar cerita orang kaki berjalan ini. Bak kata pepatah "Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan". Selesai supper, melihatkan keletihan kami, abang Zaidi menyuruh kami tidur kerana esok masih jauh perjalanan.

Day 4

Hari terakhir touring aku sebelum berangkat pulang ke JB keesokan harinya. Kami bangun awal dan berkemas. Emak abang Zaidi telah memesan sarapan daripada kedai makan berhampiran. Alhamdulillah dan terima kasih di atas sarapan yang memang mewah bagi kami. Selera kami makan pada pagi itu. Ada roti canai dan berbagai-bagai jenis kuih. Setelah selesai bersarapan kami bersiap sedia untuk kembali mengayuh. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih tak terhingga kepada Abang Zaidi kerana sudi menjemput kami bermalam di rumahnya walaupun tak pernah berjumpa. Terdapat bendang yang terbentang luas berlatarbelakangkan gunung Semanggol di sepanjang laluan keluar ke jalan utama. Jikalau bendang ini meng'hijau' pasti lebih cantik.

Sarapan di rumah abang Zaidi

Sesi foto bersama Abang Zaidi
Bendang berlatarbelakangkan Gunung Semanggol

Kami mulakan kayuhan dan destinasi terakhir untuk hari ini adalah Bandar Lumut di mana rakan kami. saudara Joe akan menyambut kami di sana. Hari ini kami bergerak lebih awal daripada hari sebelumnya dengan harapan agar kami tiba awal di Lumut. Hari ini pelbagai rintangan yang kami tempuhi antaranya Diarrhea (Sakit Perut), terlepas simpang hampir 2 km, Saraa terjatuh daripada basikal dan lunch pada jam 4:00 petang. Kami memutuskan untuk lunch di Pantai Remis, Perak. Memandangkan hari ini hari ahad, tak banyak kedai yang buka. Pada awalnya kami mahu makan di kedai mamak tetapi setibanya di restoran itu kami ternampak KFC di seberang jalan. Apa lagi, melantak KFC-lah di hari terakhir ini.

Rakan baik yang tak boleh berpisah

Welcome to Changkat Jering

Berehat melepaskan lelah

Mengenangkan nasib

Next Pit Stop, Manjung.

Pantai Remis, only ~23KM to Lumut

Alhamdulillah, kami tiba di Bandar Lumut pada jam 8:30 malam. Rakan kami di Lumut, saudara Joe telah menyambut kehadiran kami bermula dari Kampung Sitiawan lagi dan meng'eskort' kami sehingga ke bandar Lumut. Dia juga berbesar hati sudi menyediakan penginapan kami untuk malam ini. Bandar Lumut merupakan gateway untuk ke Pulau Pangkor.

Kayuhan malam memasuki Lumut
Apa-apa hal kita minum dulu

Finally arrived at LUMUT

Selesai mandi dan mengemaskan diri, Joe membawa kami keluar makan malam dan berjumpa dengan rakan-rakannya yang sungguh baik hati, peramah dan menghiburkannya. Kami beruntung dapat bertemu 'Prof' Lokman @ Lordman Kerol (lelaki yang berjanggut) yang begitu berpengalaman luas tentang barang-barang artifak terutama sekali jentera ketenteraan zaman dahulu. Beliau meminati mencari bangkai pesawat yang terhempas di tengah hutan. Satu pengalaman yang rare. Terima kasih bentara guru.

Bersama-sama rakan-rakan  Joe

Jadi, ini sahajalah perjalanan 'touring' kami selama 4 hari 3 malam. Bermula dari Alor Setar hingga ke Bandar Lumut, pelbagai kenangan kami tempuhi sepanjang perjalanan. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu kami dan juga kepada driver-driver yang meng'hon'kan kenderaan dan berhenti untuk menegur sapa kami sebagai tanda sokongan kepada kami. Tiga lagi rakan saya, Saraa, Kechik dan Noh menyambung 'cuti' mereka dengan mengayuh mengelilingi Pulau Pangkor dan saya terpaksa pulang terus ke JB bagi memulakan hari-hari biasa. Nantikan Bike Touring Chapter 3 tak lama lagi.

                                                                                                  Our Route








Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kembara Kroni Marin ke Selatan Siam ðŸ‡đ🇭

Kayuh-kayuh Cari Makan (Satun-Hatyai)

Bike Touring Chapter 3: Southern Thailand